SABAH memang kaya dengan pelbagai keindahan alam semula jadi daripada dasar lautnya hinggalah ke puncak gunung Kinabalu. Namun di sebalik keindahan alam itu negeri juga kaya dengan pelbagai etnik yang menyimpan seribu satu budaya dan adat daripada lebih 32 etnik.
Dengan pelbagai etnik seperti Bajau, Iranun, Kadazan Dusun, Murut dan sebagainya pastinya mempunyai budaya dan adat yang berbeza yang dipegang kuat.
Pengalaman penulis mengunjungi sebuah kawasan yang sinonim dengan etnik Bajau Kuda iaitu Kota Belud memperlihatkan keunikan budaya etnik yang kaya dengan pelbagai adat resam itu. Kota Belud atau bermaksud ‘Kota Bukit’ mempunyai pelbagai etnik seperti Bajau, Iranun dan Kadazandusun.
Pengalaman kali pertama penulis menjejakkan kaki ke Kota itu memberikan pengalaman bermakna dan membawa banyak persoalan mengenai pelbagai budaya dan adat yang masih diamalkan masyarakat di situ.
Kawasan yang menjadi tumpuan utama dan cukup terkenal di sini pastinya pasar tamu yang menjual pelbagai barangan dari barang harian hinggalah ke barangan kraftangan.
Di sinilah keunikan sebenar masyarakat Bajau yang terkenal dengan kemahiran mereka menunggang kuda dipamerkan dengan pelbagai aksesori dan kraftangan boleh didapati untuk dijadikan kraftangan.
Makanan tradisional kaum Bajau dan Iranun turut dijual seperti kuih penjaram dan ikan masak ampap.
Selain itu terdapat juga pelbagai barangan kraftangan dari suku kaum lain iaitu kaum Iranun, dan Dusun Tamu besar biasanya diadakan selama dua hari iaitu setahun sekali pada bulan Oktober dan kemeriahan ini diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti kesenian dan keramaian seperti pertandingan Ratu Sarimpak, pertandingan kuda berhias dan lumba kerbau.
Selain itu terdapat juga pelbagai barangan kraftangan dari suku kaum lain iaitu kaum Iranun, dan Dusun Tamu besar biasanya diadakan selama dua hari iaitu setahun sekali pada bulan Oktober dan kemeriahan ini diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti kesenian dan keramaian seperti pertandingan Ratu Sarimpak, pertandingan kuda berhias dan lumba kerbau.
Satu lagi kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di Kota Belud ialah Pulau Mantanani. Keindahan dan ketenangan air lautnya yang membiru pastinya akan menggamit pemandangan pengunjung yang tiba buat kali pertama. Pulau Mantanani adalah pulau terpencil yang masih mempunyai pelbagai keindahan alam semula jadi yang yang terletak di Barat Laut Kota Belud
Untuk ke sana pengunjung perlu menaiki bot laju yang mengambil masa selama sejam dari jeti Kuala Rampaian, dan akan mengambil masa selama satu setengah jam jika dari Kuala Abai.
Terdapat pelbagai spesies hidupan laut yang terdapat di sini yang mampu menarik perhatian peminat aktiviti scuba diving dan ia juga merupakan antara kawasan yang sering menjadi tumpuan aktiviti ini dari seluruh dunia.
Terdapat 16 lokasi aktiviti scuba yang telah dikenalpasti malah dikatakan terdapat banyak lagi kawasan yang belum diterokai sepenuhnya. Menurut penduduk kampung,mereka pernah menemui ikan dugong yang jinak dan haiwan ini sering dilihat bermain-main di kawasan pantai. Namun kini ikan dugong yang tinggal kini terdiri daripada spesies liar.
Kota Belud turut memiliki keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara dan menarik. Satu daripadanya ialah pusat pelancongan Air Terjun Sayap, kira-kira 32 kilometer dari pekan Kota Belud. Reka bentuk semula jadinya setinggi tiga tingkat (setinggi 15.24 meter) pasti mengagumkan setiap pengunjung yang pertama kali datang ke situ.
Kawasan air terjun itu turut dikelilingi pelbagai spesies pokok yang berusia ratusan tahun. Keunikan alam semula jadi, udara nyaman dan bersih pastinya memberi ketenangan kepada setiap pengunjung yang mahu beristirehat terutama pada masa cuti.
Selain itu, kampung Siasai Jaya yang terletak di daerah Kota Belud, menemukan satu seni kraf tangan Bajau yang cukup unik iaitu seni membuat parang . Bermula daripada proses membentuk bilah, hinggalah kepada seni ukir hulu parang yang cukup halus, semuanya diperlihatkan kepada rombongan media dari Kuala Lumpur.
Nilai estetika pada motif dan ukiran yang ditunjukkan pada sarung dan hulu parang menunjukkan betapa suku kaum Bajau Kota Belud mempunyai nilai cara hidup yang penuh dengan kesenian dan estetika peradaban satu masa dahulu.
Terdapat beberapa jenis parang Bajau mengikut kegunaan. Parang Barong misalnya, digunakan ketika perang, parang Gayang pula jenis yang digunakan oleh pejuang menentang penjajah terkenal, Datu Mat Salleh, manakala yang lain-lain adalah seperti parang Pidah, sabit Bajau, Beladau, Pais dan Lada-lada. Sebilah parang boleh dijual dengan harga setinggi RM500 bergantung kepada saiz
Namun apa yang menarik perhatian penulis di sini ialah keunikan budaya yang masih menebal di kalangan penduduk tempatan. Ketika melewati sebuah kawasan perkuburan penulis terpandang kayu yang tercacak di kawasan perkuburan, menyerupai payung bertingkat-tingkat.
Ada yang berwarna kuning, hijau dan putih dengan jumlah payung yang berlainan. Selain itu, satu lagi yang memeranjatkan ialah apabila melihat terdapat sebuah khemah di sebelah kubur yang masih lagi merah tanahnya.
Akhirnya persoalan penulis ini terjawab setelah berjumpa dengan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun, Mabulmaddin Shaiddin. “Ia dipanggil sebagai “Ubur-Ubur” dalam bahasa Bajau yang akan dibawa ketika mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dan akan diletakkan di penjuru kubur selepas upacara pengkebumian dilakukan,” katanya.
Menurut Mabulmaddin, tanda payung sebenarnya memainkan peranan untuk membezakan si mati sama ada dia merupakan orang biasa atau golongan bangsawan (Datu atau Syarif).
Jelasnya, kain berwarna putih digunakan untuk golongan biasa, hijau untuk Datu dan kuning untuk Syarif. Jumlah pada lingkaran payung pula adalah untuk membezakan peringkat usia si mati sama ada dia kanak-kanak, remaja ataupun golongan dewasa.
“Bagi kedua-dua golongan ini, jumlah lingkaran payung bagi kanak-kanak lelaki adalah ganjil dengan jumlah (1&3) dan golongan remaja hingga dewasa lelaki ialah lima, tujuh, sembilan dan 11.
“Bagi kanak-kanak perempuan pula lingkaran payung adalah genap dengan jumlah dua, empat, enam, manakala golongan remaja hingga dewasa wanita jumlahnya pula ialah lapan, 10 dan 12 lingkaran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Persatuan Sejarah Sabah, Abdul Naddin Shaiddin berkata, masyarakat Iranun dan Bajau sangat menghormati orang yang baru meninggal dunia. Justeru adat menunggu kubur oleh ahli keluarga si mati siang dan malam dilakukan sejak turun temurun.
“Pada asalnya tujuan menjaga kubur ini juga untuk mengelak gangguan binatang dan pengamal ilmu hitam yang dipercayai datang menganggu dan mengorek kubur orang yang baru meninggal dunia. “Jadi ia telah dilakukan sejak dahulu lagi dan sehingga kini menjadi budaya dimana kalau seseorang itu mati dan tiada siapa menunggu ia seolah si mati tidak mempunyai saudara mara,” jelasnya.
Sesunguhhnya keunikan dan keindahan di Kota Belud ini merupakan sesuatu yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi negeri Sabah itu sendiri sememangnya kaya dengan keindahan pulau-pulau dan alam semulajadinya yang begitu mengkagumkan pelancong bukan sahaja dari Malaysia malah dari seluruh dunia.
Namun apa yang pasti keunikan budayanya yang membuatkan sesebuah kawasan itu dilihat berbeza dari tempat-tempat lain. Oleh itu Kota Belud merupakan tempat yang sesuai untuk anda menikmati keindahan alam semualajadi di samping meneroka keunikan seni dan budaya mereka yang masih tersemat rapi di kalangan penduduknya.
Dipetik : Utusan Online Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
By: MaWaR PuTiH
No comments:
Post a Comment