Tuesday, 10 July 2012

PUISI BAJAU PANTAI TIMUR

BEBURUNG

  
BEBURUNG
Beburung itu terbang merentasi lautan masa,
Sementara badai berombak selalu beranjak,
Memainkan tarian lunak tulin dan lasaknya,
Merobek kulit laut sambil berlari-lari anak,
Lontarkan kuntum senyum ke bahu masa,
Lalu beburung kenyitkan mata galak.


  
Beburung itu terbang bebas meluru,
Meramas sendu,
Memulas pilu,
Sambil-sambil senandungkan rindu,
Tentang anak-anaknya tinggal di sarang biru,
Warna hijau di kalbu kini menjadi ungu,
Lantaran digamit degup jantung nan ragu.


 

Beburung itu terbang guna aksi memburu,
Terjahan bahang panas mentari tidak dihirau,
Demi nafkah anak-anak yang setia menunggu,
Lewat waktu senja dia pun lontarkan ragu,
Kerana letihnya cuit di bahu.

 
Raut wajah senja yang ungu kini menguning,
Mengutip runtun masa melarik calar lembayung,
Beburung itu bergegas mengejar redup petang,
Di kulit laut sepanjang siang diri jadi walang.

Keluh-kesah anak-anak tinggal di sarang,
Ingin pulang bawa oleh-oleh sambil terbang,
Lelah pun bertandang,
setibanya mencengkam dahan hinggap di ranting.
  
Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu
Semporna,Sabah.

By: MaWaR PuTiH
 

No comments:

Post a Comment