Thursday 16 August 2012

ANTALOGI CERPEN RAKYAT


      Mampukah Seni Kukuhkan Perpaduan 
                      Yang Mula Rapuh?

MASIH RAMAI khalayak di negara kita belum cukup memahami apa itu perpaduan, persefahaman atau mengawal perasaan supaya tidak mengeluarkan pertuturan yang menyinggung perasaan masyarakat, terutama di luar lingkungan persekitaran dirinya. Sedangkan jika kita bercakap terlalu kasar, memanas tidak tentu pasal, memaki hamun dan menyeranah ahli keluarga pun, sudah menimbulkan riaksi yang tajam, inikan pula membabitkan sekumpulan masyarakat, malah di peringkat perdesaan, daerah, kewilayahan dan negara.


Dan percakapan lebih berbahaya apabila menganggap kita mewakili suatu kumpulan yang kononnya turut menaruh syak wasangka kepada satu kelompok lain kerana perbezaan kaum, agama, bangsa atau perbezaan negeri kelahirannya. Persoalan utama ialah sikap tidak bertanggungjawab segelintir golongan dewasa, termasuk kepimpinan pelbagai aliran di negara ini menjadikan generasi muda Malaysia sudah mula berani meninggalkan resam dan budaya bangsa yang berteraskan adat sopan dan hormat menghormati.

Di sebalik terhakisnya sikap tidak tahu malu ini, perpaduan negara kita semakin hari semakin tajam menuju jurang perpecahan, jika pada era pasca merdeka ialah isu perkauman hingga tercetusnya peritiwa berdarah 13 Mei 1969, tetapi sekarang gejala perpecahan itu telah terbahagi kepada kepada komponen kecil yang turut membabitkan daerah atau negeri kelahiran, sub-etnik, hinggalah sekecil-kecilnya di mana asal kampung mereka.

Kira-kira separuh abad, selepas peristiwa itu, usaha kerajaan mengubal pelbagai peraturan dan undang-undang berkaitan perpaduan bangsa mula menghadapi kerapuhan semula. Kita mungkin menunding telunjuk kepada kepimpinan dan penyokong politik dan kerajaan yang selalu sahaja menghalalkan cara mereka mempertahankan pendirian masing-masing, hatta sanggup mengisyaratkan keburukan pesaing mereka dengan memaki hamun, memfintah dan tergamak mengkafir dan memperlekehkan ulama.


Sejarah membutikan bahawa sebelum peristiwa berdarah itu antara lain kerana penguasaan ekonomi yang tidak seimbang antara kaum, kemiskinan tidak terkawal dan hubungan antara kaum terlalu tipis. Menyedari perkara ini maka kerajaan telah melakukan penyusunan semula masyarakat termasuk memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Negara, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

 Ini adalah antara komponen utama yang kemudian dibahagi kepada beberapa perkara yang semuanya sebagai alat mengetatkan dasar utama yang longgar sebelumnya. Sebagai contoh, DEB ialah gerakan pembasmian kemiskinan di kalangan rakyat bandar dan luar bandar, selain merapatkan jurang perbezaan antara kaum dalam bidang ekonomi.

Manakala Dasar Bahasa Kebangsaan ialah penjelasan yang lebih terpeinci berkaitan pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan bangsa. Ini kerana bahasa Melayu adalah warisan pembinaan negara sejak abad ke-7 iaitu pada kemunculan kerajaan Sriwijaya yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan pengajian agama (Buddha).


Terkemudian, kedudukan dan pendaulatan bahasa Melayu diwarisi pula oleh kerajaan di Kepulauan Melayu seperti Kerajaan Pasai, Kesultanan Melaka, Acheh, Kutai, Patani dan Brunei. daripada itu, Kerajaan Pasai yang muncul pada kira-kira abad ke-13, manakala Kesulatanan Melaka pula pada abad ke-15 yang kemudian muncul sebagai kerajaan paling berpengaruh yang luas jajahan takluknya serta berhubung dengan kuasa besar dunia pada masa itu.


Dan apabila negara mencapai kemerdekaan, maka empat perkara pokok telah dipersetuji menjadi kontrak sosial negara iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan hak istemewa orang Melayu/Bumiputera (Sabah dan Sarawak).

Dalam hubungan ini, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, selain Dasar Bahasa Kebangsan, ialah mewujudkan perpaduan antara kaum menerusi pembinaan jati diri. Ini dilakukan menerusi penekanan prinsip kebudayan rakyat asal atau kebudayaan Melayu dan Islam serta keterbukan kita menerima unsur-unsur asing dan wajar dalam kebudayaan bangsa.

Dengan itu kita boleh mencapai matlamat perseimbangan, termasuk pembangunan kerohanian, ekonomi dan kemajuan pembangunan fizikal negara.


Sementara Dasar Bahasa Kebangsaan, antara lain mengiktiraf hasil susastera sebagai antara pencetus perpaduan rakyat. Ini kerana hasil susastera itu difahami semua lapisan masyarakat yang turut menyalur maklumat adat budaya bangsa sesama mereka atau pelancong. Dan penulisnya bukan hanya di kalangan orang Melayu, tetapi kalangan bukan Melayu.


Daripada itu, kita tentulah tidak menerima jika semua dasar ini tidak dapat memenuhi keperluan untuk rakyat memahami tanggungjawab mereka melaksanakan tugas sesuai sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan perihatin.


Semua perkara berkaitan, termasuk pelaksanaan program berkaitan perpaduan dan intergasi kebangsaan itu sering disalurkan menerusi media, termasuk media elektronik, surat khabar dan kini menerusi internet. Antaranya, ialah penyaluran karya-karya penulis yang rata-ratanya boleh dibaca dan difahami.

Jadi, adakah anda membaca karya sastera yang menyebut perlekehan budaya, suku kaum, bangsa dan menyebut soal diskriminasi kewilayahan?

Biar saya kutip penjelasan mengenai susastera yang ia adalah literature atau literture bermaksud akar budaya yang subur dalam kehidupan manusia. Ia juga sebahagian keperluan utama manusia, selain makan minum dan tempat tidur, kita memerlukan alat untuk berhibur, muzik. Juga memerlukan ketenangan kerohanian. Juga manusia mahu melihat negaranya aman dan makmur.


Dengan itu, mereka perlukan hasil seni, satu daripada seni persuratan. Karya seperti puisi, cerpen dan novel inilah kelak akan memberikan kita kesedaran, betapa keamanan dan kemakmuran itu harus dengan sikap yang baik, bertanggungjawab, tidak menimbulkan kekacuan dan pertelingkahan dengan ucapan yang jahat dan buruk. Dalam hasil susastera, semua ada kecuali ia memperkatakan secara melampau-lampau menimbulkan permusuhan antara satu kaum dengan kaum lain atau bangsa yang lain,atau mengungkit perbezaan kewilayahan dan memaki hamun masyarakat di negeri lain.

Begitulah, susastera yang memiliki nada yang halus, manis dan sesempurna naluri manusia yang tersangat cintanya kepada ketenteraman. Tetapi ini tidak bermakna penulisnya berdiam diri atau masih berlembut jika sesetengah manusia negara ini yang kononnnya bertamadun, terus besi keras untuk tidak membaiki cara pertuturannya, malah terus mengecap orang lain dengan kata-kata yang menyakitkan.

Sehubungan itu, kita mahu pihak pihak kerajaan supaya mengubal satu lagi dasar berkaitan undang-undang yang membolehkan tindakan terhadap rakyat negara ini yang tidak menggunakan perkataan sopan atau menimbulkan isu diskriminasi perkauman dan kenegerian di layar maya seperti facbook, twiter dan blog.


Jika saya ditanya, mengapa internet di penuhi oleh catatan atau laporan lucah dari negara Barat, saya menjawab begini: sesiapa yang mahu membaca laporan atau komen itu, terpulang kepada dia, tetapi untuk ikut berkomen dan membuat kelucahan di negara ini, sebagai rakyat negara ini sebagai insan berpegang kepada agama, elok tinggalkan, jika mahu anda tinggal di negara yang lucah itu.


New Sabah Times, Isnin 13 Ogos 2012. Yatim Ahmad, Kota Kinabalu Sabah.


By: MaWaR PuTiH

READ MORE - ANTALOGI CERPEN RAKYAT