Wednesday, 13 January 2010

Salleh Ganti Tham Sebagai Penasihat Sains Ketua Menteri





KOTA KINABALU, 12 Jan (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Penasihat Sains kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ketika mengumumkan pelantikan itu, Musa berkata jawatan itu berstatus menteri dan berkuatkuasa mulai 4 Jan lalu.

"Dia akan membantu saya dari masa ke semasa dan menjalankan tanggung tertentu (tugas-tugas khas) yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Wisma Innoprise, dekat sini, pada Selasa.

Sebelum ini, jawatan Penasihat Sains kepada Ketua Menteri disandang oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Tham Nyip Shen.

Sementara itu, Salleh, 52, mengucapkan terima kasih kepada Musa atas pelantikan itu dan berjanji akan menunaikan tugas yang diamanahkan dengan baik.

Salleh memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dari Universiti Simon Fraser, Kanada serta kelayakan Sarjana (Masters) dalam Politik dan Kerajaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Salleh, yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO), amat berpengalaman kerana pernah menjadi Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Kewangan Sabah dan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan Sabah.

Sebelum ini, Salleh pernah memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, anggota Parlimen Kota Belud dan anggota Dewan Undangan Negeri Usukan.

Beliau berkahwin dengan Datuk Seri Hajjah Raya Erom dan mempunyai empat orang anak iaitu Mohd Syarulnizam, Syazeera, Mohd Hafeez dan Syeera.

-- BERNAMA
READ MORE - Salleh Ganti Tham Sebagai Penasihat Sains Ketua Menteri